Bimillahirrahmanirrahim,
Sewaktu kita masih kecil, kita diberitahu oleh ibu bapa kita tentang fungsi tiga warna pada lampu isyarat. Warna MERAH untuk berhenti, warna HIJAU untuk meneruskan perjalanan dan warna KUNING untuk sedia berhenti. Namun, selepas meningkat dewasa, doktrin yang telah dikoordinasikan semenjak kecil, ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.
Tatkala keseorangan dalam pemanduan, tanpa ada seseorang yang memandang ataupun pihak berkuasa melakukan sekatan, kita menghijaukan warna Merah dan kita juga menghijaukan juga warna kuning. Inilah secebis kisah tentang INTEGRITI.
Salam apresiasi buat saudara pengerusi majlis, barisan panel kehakiman yang penuh berintegriti, dif-dif kehormat yang disanjungi, seterusnya hadirin yang bervisi dekat di hati. Assalamualaikum w.b.t salam kecemerlangan buat anda semua.
RAKYAT BERINTEGRITI, NEGARA CEMERLANG DISANJUNGI begitulah mauduk bicara yang bakal saya persembahkan buat santapan minda dan halwa telinga warga dewan semua.
Menurut YAB Perdana Menteri kita, Tun Dr Mahathir Mohamad konsep Rakyat Berintegriti bukan mencakupi isu rasuah semata-mata bahkan ia merangkumi perkara-perkara yang lebih besar dari itu. Rakyat Berintegriti membawa maksud rakyat yang memiliki nilai-nilai amanah, boleh dipercayai, jujur dan sifat-sifat peribadi yang teguh.
Tuntasnya, integriti adalah sifat jati diri yang merangkumi juga keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, benar, berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi. Maka, untuk menjadikan Malaysia Cemerlang, kualiti unggul yang digariskan menerusi konsep Rakyat berintegriti diperlukan bagi memacu kecemerlangan Malaysia seterusnya disanjungi.
Namun persoalannya, bagaimanakah kita dapat melahirkan Rakyat Berintegriti yang akan memacu kecemerlangan negara kita Malaysia ?
Baik. Saya akan membawa saudara bagaimana kita dapat melahirkan rakyat berintegriti seterusnya menjadi pemacu kecemerlangan negara di bawah 3 pragmatik utama.
Maka hayatilah pragmatik yang pertama
INSTITUSI KELUARGA DIPERKASA, INTEGRITI TERPELIHARA.
Institusi keluarga merupakan institusi penting dalam masyarakat kita kerana asas segala asuhan bermula daripada keluarga. Ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Sedari kecil, anak-anak perlu dididik dengan sifat-sifat peribadi yang teguh, dan ibu bapa juga seharusnya menjadi suri teladan terbaik buat anak-anak.
Menurut Prof Syed Naquib Al Atas dalam bukunya Ar-Risalah, mengatakan peranan institusi keluarga sangat utama dalam pembentukan masyarakat sejahtera.
Statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menunjukkan setiap 1 jam, 10 pasangan bercerai, setiap 3 hari, 2 orang bayi kecil dibuang tanpa rasa berdosa dan setiap 2 hari, 2 orang remaja kita lari dari rumah.
Kegagalan integriti diterapkan sedari awal menyebabkan institusi keluarga menjadi pincang, dan akhirnya Malaysia yang cemerlang terencat untuk dizahirkan.
Namun saya ingin berterima kasih kepada para ibu bapa di hadapan saya yang menyahut kempen Rumahku Syurgaku, Baiti Jannati yang sentiasa menyemaisuburkan asas integriti dalam kalangan ahli keluarga, berteraskan yang tua dihormati, yang muda disayangi.
Lantaran itu, rakyat berintegriti yang ditunjangi oleh kekuatan institusi kekeluargaan dapat dilahirkan, akhirnya Malaysia Cemerlang di persada dunia.
Sidang hadirin bervisi,
Pragmatik kedua
PENDIDIKAN DIMANTAPKAN, INTEGRITI DIBUDAYAKAN.
Sedari Awal Kalimah Iqra diturunkan oleh Pencipta adalah untuk menyeru seluruh umat manusia mencintai ilmu. Maka, seharusnya institusi pendidikan menjadi tapak untuk menanam asas integiriti dalam kalangan rakyat Malaysia. Kita sedar, institusi pendidikan merupakan institusi cukup dihormati dan dekat di hati.
Namun kita disentak dengan beberapa isu integriti dalam bidang pendidikan, kes kebocoran soalan peperiksaan yang tidak sepatunya berlaku sehinggalah kisah pelajar memukul guru yang berkorban mencurahkan ilmu. Cukup sedih apabila melihat seorang guru diperlakukan sedemikian rupa.
Namun, saya cukup yakin, itu hanya kes-kes terpencil kerana masih ramai dalam kalangan putra-putri merdeka yang menjunjung falsafah rasmi padi, semakin berisi, semakin menunduk ke bumi.
Usaha-usaha diperkasakan melalui sektor pendidikan untuk menyemaisuburkan integriti bukan sahaja dalam kalangan pelajar, malahan kepada pendidik. Dari seawal Penyata Razak sehinggalah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, pelbagai usaha dilaksanakan bagi melahirkan modal insan beringriti. Pendidikan agama dan moral diwajibkan, pendidikan sivik dan kewarganegaraan juga diperkasakan, kegiatan kokurikulum disulam dengan asas integriti yang kuat.
Lantaran itu, lahirlah modal insan bermentaliti kelas pertama yang akan memacu kecemerlangan Malaysia.
Hadirin yang tidak lena sekalian,
Pragmatik ke tiga,
MEDIA MASSA MEMAINKAN PERANAN, AMALAN INTEGRITI DITINGKATKAN.
Menyedari betapa dunia hari ini dihujani dengan ledakan media sosial, kita tidak boleh mengatakan tidak kepada kehadiran teknologi ini. Dilaporkan bahawa kini terdapat lebih 500 juta pengguna facebook (muka buku) dan lebih 100 juta pengguna twitter (berkicau) di seluruh dunia.
Ini membuktikan media sosial merupakan satu ancaman jika tidak digunakan dengan cara yang betul.
Insiden pergaduhan di Plaza Low Yat sekitar tahun 2015 misalnya, hanyalah berpunca daripada insiden mencuri telefon bimbit tetapi menjadi viral kononnya melibatkan isu pergaduhan kaum. Bukan itu saja, penyebaran spekulasi liar dan berita palsu berkaitan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac 2014 juga antara bukti penyebaran berita tidak sahih. Masing-masing mahu menjadi juara wira papan kekunci dan pakar kononnya di media sosial.
Fitnah ini membuktikan ketirisan integriti yang gagal dibezakan kebenaran dan kepalsuannya.
Lantaran itu, pengguna media sosial yang memiliki integriti yang tinggi seharusnya berupaya menapis dan menentusahkan setiap berita sebelum menyebarkannya di media massa. Mereka tidak akan sewenang-wenangnya menyebarkan berita yang palsu. Di pihak kerajaan, pelbagai usaha dilaksanakan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menggubal Akta Komunikasi dan Multimedia bagi menyekat berita yang tidak ada integriti. Kempen-kempen integriti di kalangan pengguna media sosial dirancakkan dan seharusnya disambut baik oleh seluruh rakyat Malaysia.
Hadirin warganegara Malaysia sekalian,
Sebelum saya meninggalkan medan bicara pada hari ini, saya dapat simpulkan betapa hari ini kita mampu melahirkan rakyat berintegriti yang bakal memacu kecemerlangan Malaysia andai institusi keluarga diperkasa, pendidikan integriti menjadi budaya serta media sosial diguna sebaiknya.
Ayuhlah bangsaku, kita lakarkan potret kecemerlangan Malaysia, maka benarlah Rakyat Berintegriti, Malaysia Cemerlang Disanjungi.
Putih-putih bunga melati,
Harum mewangi di pagi hari,
Pidato saya cukup disini,
Jika rindu harap hubungi.
Sekian, Terima Kasih.
No comments:
Post a Comment