3.11.10

Walimah

Aku rindu akan kedamaian yang kini tiada bertakhta di hati. Asyik hiruk-pikuk kota yang tak tentu hala. Aku mengorak langkah menuju ke arah kedua mempelai yang sedang tersenyum girang. Keriangan yang dirasa sepatutnya aku rasai bersama.

"Ina, Ina jangan khuatir. Abang berjanji pada Ina. Abang akan menjaga Ina dengan baik. Abang akan curahkan segala kasih sayang kepada Ina." Kata-kata Nid yang masih segar diingatanku.

Waktu itu, aku rasakan yang aku akan dapat mencapai kebahagiaan lagi. Ya, kebahagiaan yang telah hilang setelah ayah meninggalkan kami.

"Pergi! Berambus dari sini! Penipu!" ibu menjerit.

Aku tidak pernah melihat ibu semarah itu. "Ah! Diam kau!" jawab ayah. Tangan keras kematu terangkat tinggi, melayang menampar pipi gebu ibu. Waktu itu, aku seakan-akan terpaku di tempat dudukku. Tidak pernah ayah dan ibu bertengkar sebegini hebat. Bekas tapak tangan ayah meninggalkan kesan di pipi ibu. Aku masih ingat lagi; ibu menangis tiada henti. Kecewa. Menyesal. Geram. Marah. Sejak hari itu, ayah tidak pulang ke rumah. Apa yang aku tahu, ayah sebenarnya sudah berkahwin dan sudahpun mempunyai seorang anak. Ibuku merupakan isterinya yang kedua. Kasihan ibu, baru hari itu segala rahsia ayah terbongkar.

Aku bersalaman dengan pengantin perempuan yang ternyata sungguh ayu berpakaian kebaya merah jambu. Kemudian, aku bersalaman dengan pengantin lelakinya. Dari sinar matanya, tergambar perasaan yang hanya sahaja diketahuiku. Biarlah ia menjadi rahsia. Aku mengukir senyuman kepadanya. Ampangan manik-manik jernih seakan-akan tiada berdaya untuk menampung beratnya. Dengan pantas, aku mengorak langkah…. mengorak langkah ke kenangan silam…

"Tidak! Tidak! Ina tidak percaya!" kataku.
"Maafkan ayah, Ina. Ayahlah yang menyebabkan Ina merana begini," ayahku berkata.

Aku tidak percaya. Ayah sekali lagi merampas kebahagiaan dan kedamaian yang selama ini aku impikan. Nid ialah abangku sendiri! Anak ayah pada isteri pertamanya. Nid sendiri tergamam. Terkejut dengan penjelasan ayah. Ibuku sendiri rebah ke lantai apabila aku menceritakan ibu perkara yang sebenar.

Kakiku membawa aku pergi. Aku tidak menyalah.

1 comment:

Anonymous said...

Bahagia itu fitrah tabie manusia. Semua orang ingin bahagia. Jika ada manusia yang berkata, alangkah bahagianya kalau aku tidak bahagia, dia layak dihantar ke Hospital Bahagia. Kenapa? Sudah tentu orang itu tidak siuman lagi. Manusia yang siuman sentiasa ingin dan mencari bahagia. Bahkan, apa sahaja yang diusahakan dan dilakukan oleh manusia adalah untuk mencapai bahagia.

• Ujian hidup punca hilang bahagia?
Mari kita lihat persoalan ini lebih dekat. Apakah benar ujian hidup menghilangkan rasa bahagia dalam kehidupan ini? Apakah sakit, usia tua, cercaan manusia, kemiskinan, kegagalan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup menjadi sebab hilangnya bahagia? Jawabnya, tidak!

Jika kita beranggapan bahawa ujian hidup itu penyebab hilangnya bahagia maka kita sudah termasuk dalam golongan pesimis yang beranggapan tidak ada kebahagiaan di dunia. Mengapa begitu? Kerana hakikatnya hidup adalah untuk diuji. Itu adalah peraturan hidup yang tidak boleh dielakkan. Sekiranya benar itu penyebab hilangnya bahagia, maka tidak ada seorang pun manusia yang akan bahagia kerana semua manusia pasti diuji.

Atas dasar itu, ujian hidup bukan penyebab hilangnya bahagia. Sebagai perumpamaannya, jika air limau nipis diletakkan di atas tangan yang biasa, maka kita tidak akan berasa apa-apa. Sebaliknya, jika air limau itu dititiskan di atas tangan yang luka maka pedihnya akan terasa. Jadi apakah yang menyebabkan rasa pedih itu? Air limau itu kah atau tangan yang luka itu? Tentu jawapannya, luka di tangan itu.

• Metafora air limau dan luka di tangan
Air limau itu adalah umpama ujian hidup, manakala tangan yang luka itu ialah hati yang sakit. Hati yang sakit ialah hati yang dipenuhi oleh sifat-sifat mazmumah seperti takbur, hasad dengki, marah, kecewa, putus asa, dendam, takut, cinta dunia, gila puji, tamak dan lain-lain lagi. Ujian hidup yang menimpa diri hakikatnya menimbulkan sahaja sifat mazmumah yang sedia bersarang di dalam hati. Bila diuji dengan cercaan manusia, timbullah rasa kecewa, marah atau dendam. Bila diuji dengan harta, muncullah sifat tamak, gila puji dan takbur.

Justeru, miskin, cercaan manusia dan lain-lain itu bukanlah penyebab hilang bahagia tetapi rasa kecewa, marah dan tidak sabar itulah yang menyebabkannya. Pendek kata, ujian hidup hakikatnya hanya menyerlahkan sahaja realiti hati yang sudah tidak bahagia lama sebelum ia menimpa seseorang.

Dengan segala hujah di atas terbuktilah bahawa pendapat yang mengatakan bahagia itu datang dari luar ke dalam adalah tertolak sama sekali. Ini kerana faktor “kesihatan” hati jelas lebih dominan dalam menentukan bahagia atau tidaknya seseorang berbanding segala faktor luaran. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kebahagiaan itu datang dari dalam ke luar – soal hati.