Tiada sambutan bukan bererti luput di ingatan. Sebelum pulang ke lubuk. Kembali untuk menjalankan tugas duniawi, aku sempat bersama dengan emak tercinta. Kebetulan pada hari kejadian, aku berada di sana. Sempena kenduri arwah bapak untuk hari yang ke-100. Al-Fatihah...
Emak memang seorang yang tabah dalam menghadapi ranjau onak duri perjalanan hidup. Segala cabaran dan rintangan emak hadapi dengan sikapnya yang berani, tegas dan penyabar. Sifat-sifat itu juga diwarisi oleh anak-anaknya. Khususnya aku sendiri. Haha! Kalau tidak seratus peratus, paling kurang pun 0.01 peratus.
Ya, emak dah buktikan segalanya. Dulu, emak merantau. Dari satu wilayah ke wilayah yang lain. Sehelai sepinggang. Sedikit demi sedikit emak membina hidup. Bermula dengan bekerja sebagai pembantu rumah, bekerja di restoran sebagai pencuci pinggan, mengambil upah membasuh baju. Menjaja kuih-muih dan nasi lemak. Menjual kain, cadar dan permaidani. Berniaga sendiri dengan modal awal lima puluh ringgit sahaja. Buka kedai runcit di rumah kecil-kecilan. Sudahnya, emak pandai pusing modal, lambat laun perniagaan semakin maju. Ada jual beras, gula, tepung, bawang, ikan, sayur, biskut, susu dan macam-macam lagi.
Dari tahun ke tahun emak mengumpul modal, menjalankan perniagaan. Bayangkan, emak dan arwah bapak boleh membeli rumah secara tunai. Pandai emak menabung. Emak dan arwah bapak boleh mengerjakan haji. Betapa hebatnya mereka. Mereka juga menyekolahkan dan memberi pendidikan kepada ke enam-enam anak mereka. Ya, emak dan arwah bapak memang hebat!
Selamat hari ibu kepada emak kandung Puan Hjh. Hindun Hj. Mimfari & emak mertua Puan Maznah Sarjo. Juga ibu kepada dua puteri tercinta Fiqa dan Fifa. Mahani Mohamad Yahya. Kepada penama-penama di atas, sila semak emel kalian.
.
No comments:
Post a Comment