6.10.05

Usah rajuk lagi cinta

Kejadian ni memang berlaku. Berlaku pada diri ini. Berlaku semasa kami sedang menuntut di IPTA tersohor di selatan tanah air. Seperti kebiasaan, kami pergi dan balik kuliah dengan motosikal. Aku menunggang dia membonceng. Dia dibonceng, aku menunggang. Perkara ini memang rutin bagi kami sebab memang mudahkan untuk kami bergerak baik ke mana saja di dalam kampus dan di luar kampus. Tambahan pula, dia tidak mempunyai kenderaan sendiri apatah lagi lesen memandu. Dia cuma memiliki sekeping hati yang luhur dan ikhlas tulus murni. Dan segumpal kejujuran.

Selama ini, memang pembonceng akan menunggu penunggang atau pembawa. Hari ini, perkara yang sama juga berlaku. Tiada bezanya. Dia menunggu aku. Pagi ini, kuliah mula jam 8.00 pagi di Dewan Kuliah B. Agaknya, kami orang yang paling lambat masuk kelas pada masa itu. Jam dah menunjukkan pukul 8.08 pagi. Masih lagi dalam perjalanan. Tak mengapa. Ada alasan yang boleh direka. Kalau pensyarah tanya jawablah tayar motor pancit atau tayar motor bocor. Pancit dan bocor ada bezanya. Kalau pancit boleh dipam dan tidak perlu ganti tiub. Kalau bocor tak boleh dipam lagi dan wajib ganti tiub. Kalau daun pintu bilik kuliah dikunci, tak perlu masuk kelas. Kalau kunci dipintu, bukalah pintu itu dengan perlahan agar tidak menggangu pelajar di dalamnya.

___ Di dewan kuliah tadi memang muka si dia berubah. Senyum yang terukir pagi tadi menjadi masam macam cuka. Entahlah, macam cuka atau macam apa. Macam dialah. Makin dia masam makin nampak ayu rasanya. Ini semua pensyarah punya angkara. Pensyarah juga yang salah. Datang lambat, jatuh air muka. Dia mula naik merajuk dengan aku. Sebab kajadian yang berlaku di bilik kuliah dia malu dengan kawan-kawan katanya. Aku selamba dan lebih bersahaja pada masa itu. Lebih tenang. Dapat mengawal emosi. Tapi dia marah tak tentu pasal. Masa tu, aku rasa dia tak datang bulan. Katanya dia sembahyang subuh pagi tadi. Katanya dia mahu pulang menaiki bas, tak mahu dibonceng lagi. Walau bagaimanapun aku tidak mahu dia menaiki bas kerana beberapa sebab, antaranya bas dalam kampus memang selalu lambat sampai. Masa naik bas pelajar sering berebut-rebut. Itu yang aku tak mahu. Takut terjadi apa-apa pada dirinya. nampak tak keprihatinan aku di situ.

Aku berjaya memujuknya. Dia mahu ikut bersamaku menaiki motosikal. Aku lega. Akhirnya dia akur dan tunduk dengan pujukan aku. Kami berdua jalan menuju ke tempat letak motosikal. Semasa berjalan aku di depan, dia jauh di belakang. Macam ada yang tak kena. Memanglah tak kena. Mungkin rajuknya makan masa untuk reda kembali. Tak mengapalah. Aku menyejukkan diri sendiri. Tiba di motosikal aku terus menghidupkan enjin. Beberapa seketika. Aku menunggu dia tiba. Memang aku malas nak toleh ke belakang. Takut mukanya lagi masam. Lagi membara rajuknya pagi tadi. Aku memberi helmet kepada dia. Dia mengambilnya. Di belakang aku terasa ada benda berat naik ke atas. Macam ada yang menumpang selepas tempat duduk dikepuk-kepuk dan diusap-usap.

Tanpa aku berfikir panjang dan menoleh ke belakang, aku terus menunggang dan meluncur ke depan. Hanya memandang apa yang ada di depan. Tidak peduli kiri dan kanan jalan. Apatah lagi belakang jalan. Kemarahan tadi masih belum terubat lagi. Dia memang sering menyalahkan aku jika perkara sebegini berlaku. Tapi, ini kali pertama yang dia betul-betul marah. Sebelum ini, marah olok-olok. Datang kuliah lewat, salah aku. Motor rosak, salah aku. Nota tak lengkap, salah aku. Keputusan peperiksaan tak bagus, salah aku. Itu yang membuatkan fikiran ini serabut dibuatnya. Semuanya salah aku. Aku saja yang salah. Arghh!

Aku menoleh ke belakang, tiada insan di belakangku. Aku tidak percaya. Halimunan agaknya. Aku rasa dengan tangan kiri sambil memecut motosikalku dengan laju. Ketika itu, perjalanan dah hampir separuh sampai ke destinasi. Alamak, apa dah jadi ni. Aku berpatah balik. Memecut dengan laju. Apabila aku sampai ke tempat yang dituju tadi. Tampat letak mostosikal. Aku dapati dia tiada lagi di situ. Sebaliknya aku pun tak tahu. Bertambah lagi rajuknya kali ini aku berkata di dalam hati. Tentu dia marah berganda kali ini. Tanpa membuang masa, aku menelefon dia. Syukur. Dia dah selamat berada di rumah. Takut juga tercicir di tengah jalan.

Baru aku terfikir. Rupanya dia belum sempat menaiki motosikalku yang cabuk tadi. Aku dah meluncur dulu. Agaknya semasa dia mengangkat kaki, aku dah berambus. Tentu orang sekeliling nampak. Tentu mereka gelak. Masa itu juga aku rasa dia menitiskan air mata kerana ditinggalkan begitu sahaja. Kasihan juga pada dia. Tanda aku kasih padanya. Berdasakan ceritanya pada aku semula. Semua orang sekeliling mentertawakannya. Aku juga begitu walaupun aku tiada di tempat kejadian pada masa itu tetapi ia lebih lucu apabila diceritakan semula dengan penuh emosi. Tapi tahukah dia, hati aku yang terluka sudah terubat nampaknya.


.

No comments: